Thursday, 24 September 2015

Analisis Kesalahan Bahasa Petikan
1.1       ASPEK MORFOLOGI
            Ejaan ialah kaedah atau cara menulis perkataan dengan huruf. Sistem ejaan bahasa Melayu ialah sistem yang umumnya berdasarkan kaedah fonetik, iaitu unit-unit bunyi yang berfungsi sahaja dilambangkan dengan huruf dan pada umumnya tidak ada huruf-huruf yang senyap. Antara kesilapan ejaan yang didapati dalam petikan tersebut ialah: gemok, ijinkan, walaupon, mahupon, pon. Dapat dilihat kesilapan ejaan penulis petikan lebih tertumpu kepada bunyi vokal ‘u’ dengan ‘o’. Penulis keliru bunyi vokal ‘u’ dengan ‘o’. Penulis juga keliru dengan bunyi konsonan ‘z’ dengan ‘j’.
Kata seru ialah bentuk kata yang berfungsi melahirkan berbagai-bagai perasaan dan digunakan dalam ayat seruan. Kata seru digunakan di hadapan ayat dan diakhiri dengan tanda seru. Penulis petikan juga menggunakan kata seru tetapi silap penggunaannya:
·         … … menikmati jus oren dan kudapan muruku kacang semata-mata. Eh.
·         … … doa macam mana pon tak akan naik ke langit bang oi! 
Kata penegas yang juga disebut partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Dalam petikan yang dikaji, didapati penulis petikan juga menggunakan kata penegas tetapi kata penegas yang digunanya tidak formal. Antara kata penegas tidak formal yang didapati dalam petikan ialah ke dan je.
·         Jenama susu tepung ke..?
·         Yang ingin saya kongsikan memang secoet je daripada apa yang patut anda tahu tentang konflik Israel-Palestin ni.
Kata sendi nama ‘di’ juga digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Ia tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa arau zaman namun, penulis petikan telah membuat kesilapan tersebut:
·         Tanah Palestin mula-mula dikuasai oleh umat Islam di zaman pemerintahan Saidina 'Umar al-Khattab r.a..
o   Cadangan pembetulan: Tanah Palestin mula-mula dikuasai oleh umat Islam pada zaman pemerintahan Saidina 'Umar al-Khattab r.a..
·         Di dalam kisah yang amat popular di kalangan umat Islam… …
o   Cadangan pembetulan: Di dalam kisah yang amat popular dalam kalangan umat Islam… …
·         Seperti yang saya katakan di awal-awal tadi, … …
o   Cadangan pembetulan: Seperti yang saya katakan pada awal-awal tadi, … …
Kata sendi `dalam’ digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian `tempat yang tidak mempunyai ruang atau jarak’ (seperti perkara, peristiwa, hal, urusan, bahasa, bidang, masyarakat dan sebagainya). Kesilapan selalu berlaku apabila di tempat yang sepatutnya digunakan kata sendi `dalam’, frasa sendi `di dalam’ (iaitu rangkaian kata sendi ‘di’ dan kata nama arah `dalam’) digunakan.
·         Kisah ini direkodkan di dalam al-Quran di dalam surah al-Isra', ayat pertama:… …
o   Cadangan pembetulan: Kisah ini direkodkan dalam al-Quran dalam surah al-Isra', ayat pertama:… …
·         Di dalam kisah yang amat popular di kalangan umat Islam,… …
o   Cadangan pembetulan: Dalam kisah yang amat popular di kalangan umat Islam,… …
·         “… … mereka tetap di dalam keadaan mereka."
o   Cadangan pembetulan: “… … mereka tetap dalam keadaan mereka."
Kata ganda berfungsi untuk membentuk makna kepelbagaian. Maka, kata bilangan tidak boleh ditulis bersama kata ganda. Kesilapan ini boleh didapati dalam petikan yang dikaji:
·         Polisi Nazi di bawah pimpinan Hitler yang anti-semitik juga menyebabkan penghijrahan lebih ramai orang-orang Yahudi ke Palestin.
o   Cadangan pembetulan: Polisi Nazi di bawah pimpinan Hitler yang anti-semitik juga menyebabkan penghijrahan lebih ramai orang Yahudi ke Palestin.

1.2       ASPEK SINTAKSIS
Dalam komunikasi ruang siber, pengguna gemar menggunakan mode tulisan dengan kaedah menaip pada papan kunci. Dengan itu, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan-rakannya menerusi mode tulisan sahaja. Penggunaan sebegini mewujudkan sejenis mode kacukan lisan dan tulisan (Teoh, 2012). Keadaan ini boleh didapati dalam petikan yang dikaji juga. Contoh:
·         "Hah?? Ye ke Inche gabbana? Gua ingat baru start tahun baru Hijrah hari tu!"
o   Analisis: Pelbagai unsur telah telah dicampuradukkan dalam petikan di atas. Perkataan ‘ye’ merupakan bahasa lisan yang menggantikan perkataan ‘ya’ dalam penulisan. Perkataan ‘inche’ merupakan variasi perkataan ‘encik’ lisan yang dipindah ke dalam penulisan. Perkataan ‘ke’ dijadikan kata penegas dalam pertuturan lisan telah dipindah ke dalam petikan di atas. ‘Gua’ pula merupakan kata pinjaman dialek Cina Hokkien yang bermaksud saya. Penulis juga mencampurkan bahasa Inggeris ‘start’ dalam ayat di atas. Perkataan ‘tu’ merupakan singkatan ‘itu’ yang biasa digunakan dalam pertuturan harian. Subjek ayat ketiga juga digugurkan. Kesimpulannya, ayat ini merupakan ayat lisan pertuturan harian yang tidak mementingkan hukum bahasa utuh bahasa Melayu.
o   Cadangan pembetulan: “Ha? Yakah Encik gabbana? Saya ingatkan konflik Palastin- Israel baru bermula tahun baru Hijrah hari itu!”
·         “Hallo hang ingat tanah Palestin tu negara tok hang ka nak buat suka-suki hati...??”
o   Cadangan pembetulan: Adakah kamu ingatkan tahah Palestin itu negara kepunyaan datuk kamu dan kamu boleh membuat sesuka hati?
Fenomena ini jelas mengugut penggunaan bahasa Melayu kerana ia dicampur aduk dengan unsur-unsur bahasa rojak dan kini tidak ramai orang yang boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan yang utuh.
Secara tradisi, ayat bahasa Melayu terbina daripada dua unsur, iaitu frasa subjek dan frasa predikat. Namun dalam petikan yang dikaji, terdapat ayat yang telah digugurkan frasa subjeknya:  
·         Di Gaza, jika mahu lebih spesifik.

o   Analisis: Frasa subjek sama ada terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataaan yang sememangnya frasa nama atau yang berfungsi sebagai frasa namadan menjadi judul atau unsur yang diterangkan. Ayat di atas terdiri daripada frasa sendi nama semata-mata. Ayat yang tidak mengandungi frasa nama atau unsur yang berfungsi sebagai frasa nama tidak dapat diterima sebagai ayat. 

12 comments:

  1. Hasil analisis adalah padat dan jelas. Contoh yang diberikan adalah tepat dan cadangan pembetulan adalah bersesuaikan.

    ReplyDelete
  2. Analisis kesalahan tatabahasa yang jelas dan tepat. Cadangan pembetulan yang diberi amat membantu.

    ReplyDelete
  3. Kata sendi `dalam’ kerap disalah gunakan bukan sahaja dalam kalangan murid tetapi juga dalam kalangan guru.
    Penjelasan yang sangat jelas.

    ReplyDelete
  4. Kata sendi `dalam’ kerap disalah gunakan bukan sahaja dalam kalangan murid tetapi juga dalam kalangan guru.
    Penjelasan yang sangat jelas.

    ReplyDelete
  5. Analisis kesalahan yang ditulis amat bernas dan berguna.

    ReplyDelete
  6. isi keterangan adalah tepat, jelas dan padat. cadangan pembetulan yang dinyatakan juga sesuai..

    ReplyDelete
  7. Analisi yang jelas dan lengkap. Bagus.

    ReplyDelete
  8. Analisis yang dihasilkan tepat dan amat membantu pembaca untuk meningkatkan tahap penguasaan tatabahasa dan mengelakkan pembaca daripada membuat kesalahan yang serupa.

    ReplyDelete
  9. Analisa yang diberikan amat baik dan menjelaskan secara terperinci kesalahan yang terdapat dalam petikan. Syabas!

    ReplyDelete
  10. analisis dan penjelasan yang amat jelas dan lengkap! bagus!

    ReplyDelete
  11. Analisis yang sangat bagus dan berkualiti tetapi harap dapat menggariskan keluar apa kesalahan yang telah dianalisis supaya pembaca dapat nampak dengan jelas apa kesalahan yang terdapat dalam petikan~Taniah XP

    ReplyDelete
  12. Isi kandungan dalam petikan menarik perhatian dan amat berguna. Analisis yang dilakukan jelas!

    ReplyDelete